[MY] KLH muncul juara The Legends Circuit 201726.03.2017



Kuala Lumpur Hunters (KLH) mempamerkan aksi bersemangat apabila menewaskan pesaing ketat Swestic 3-0 dalam perlawanan akhir The Legends Circuit (TLC) Malaysia 2017.

Walaupun dengan persembahan mereka yang mantap, pasukan Swestic tidak mampu mengalahkan para veteran eSukan League of Legends dalam siri perlawanan BO5. Akhirnya, KLH berjaya membawa pulang RM40,000 yang bakal digunakan dalam persiapan menghadapi cabaran peringkat antarabangsa.

Bawah pengendalian pengurus berpengalaman, Luqman “Crowe” Abdullah, KLH yang dibintangi pemain seperti Adrian “Shiro” Lee, Eric “Qaspiel” Sia Sze Pin, Chan “Arrhedge” Roonghan, Adrian“CO4” Leng, Ramsay “Bipolar” Devaraj dan Joseph “CoolCat” Lim konsisten membuat perancangan. Kapten pasukan iaitu pemain Jungler, Qaspiel telah dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua berturut-turut susulan aksi konsisten sepanjang kempen TLC.




Kini, KLH perlu mengalih tumpuan kepada saingan Garena Premier League (GPL) 2017, kejohanan perinkgat Asia Tenggara yang disertai Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Dickson Lee, Ketua eSukan Garena berkata: “Kami amat berbangga dengan KLH yang membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan pemain eSukan berkaliber tinggi yang mampu berentap di pentas antarabangsa. Sudah pasti perjalanan dalam beberapa bulan ini akan menjadi lebih menarik terutamanya buat mereka yang menyertai GPL 2017 yang merupakan pentas kelayakan ke Kejohanan Dunia”

“Saya juga yakin bahawa KLH dan Swestic dapat menjulang eSukan di Malaysia dan menjadi sumber inspirasi kepada lebih banyak lagi bakat baru”




Dengan hadiah wang tunai keseluruhan yang melebihi RM150, 000 tahun ini, TLC mempertengahkan sebanyak 165 pasukan daripada 9 negeri: Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Perak, Kelantan, Sabah, Pulau Pinang dan Pahang. Bermula November 2016, pasukan-pasukan ini menyertai beberapa sesi kelayakan untuk memasuki TLC.


Pada musim ini, The Legends Circuit: Spring 2017 merupakan hasil kerjasama antara Garena Malaysia dan dua penaja terkenal iaitu TIME Fibre Internet dan ASUS Republic of Gamers (ROG)